[...] "Aku ada cadangan." Benda itu condong ke hadapan sebagaimana yang dilakukan oleh kawanku April apabila dia ingin memberitahu sesuatu rahsia, walaupun tiada satu pun antara rahsianya bagus. Atau meskipun benar-benar rahsia. "Kalau kau tak bagi tahu sesiapa bahawa aku di sini, aku boleh baikkan mata kau."
"Tipulah!"
Benda itu berkerdip beberapa kali. "Itulah apa yang aku cuba lakukan."
"Maksud aku ialah kau tak boleh lakukannya!"
"Kenapa tak boleh?"
"Sebab, tiada sesiapa pun yang boleh baikkan mata aku, melainkan dengan cermin mata."
"Aku ada kebolehan tertentu. Kau akan saksikannya, dengan syarat..."
"...Aku tak bagi tahu sesiapa tentang kau?"
"Itulah isinya, itulah pokoknya."
"Macam mana aku nak tahu yang kau takkan butakan aku? Boleh jadi kau seperti salah seorang telepemasaran yang membuat janji tetapi sama sekali menipu."
Benda itu membuat gerakan tangan seperti lingkaran pilin lagi. "Aku takkan buat sebegitu kepada makhluk yang tidak mengapa-apakan aku."
"Maksudnya kalau aku apa-apakan kau, kau akan butakan aku?"
"Ikut keperluan."
"Dan kalau kau baikkan mata aku, dan aku tak bagi tahu sesiapa tentang kau, kau akan tinggalkan padang kami?"
"Itulah isinya!" [...]